Showing posts with label Sylvester Entrie. Show all posts
Showing posts with label Sylvester Entrie. Show all posts

Monday, October 24, 2011

SPDP Mawan Gempur Ulu Teru!!!???

Mawan memang seorang pemimpin yang bersabar.  Tahniah kerana beliau meneruskan perjuangan untuk bersama rakyat pada Ahad lepas.  Walaupun sudah diberikan amaran bahawa pihak Unit Khas telah menasihatkan agar Mawan tidak pergi ke Ulu Teru.

Namun sebagai seorang pemimpin laksana panglima yang tidak gentar, beliau telah menyahut cabaran TPM untuk meneruskan acara Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Henry Gomes.  

Mungkin sudah tiba masanya untuk Rebel 5 membenarkan siasatan ke atas mereka yang gagal menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi dalam tempoh dua tahun.  Buang yang keruh ambillah yang jernih.  Perkukuhkanlah lagi jentera pilihan raya SPDP.  Usahlah membawa hati, kerana rakyat memerlukan pemimpin yang cekal dan berani.  Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing!!!
Mawan Masih Yakin Terhadap 'SPDP Five' Yang Hilang Keyakinan Terhadap Beliau 

 
24 Oktober, 2011 17:17 PM  

MIRI, 24 Okt (Bernama) -- Walaupun lima wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden parti Tan Sri William Mawan, namun beliau tetap menaruh keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata Datuk Peter Nansian (DUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau) -- adalah antara pemimpin yang beliau rasakan boleh menggantikan beliau menerajui parti pada masa depan.

"Saya berkeyakinan penuh terhadap mereka, mempunyai banyak harapan pada diri mereka, yang boleh menggantikan saya pada masa akan datang. Lagipun, saya yang menaikkan mereka. Saya tidak mengatakan mereka tidak baik. Saya tidak mengatakan mereka salah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan sesi pemimpin bertemu rakyat di Rumah Panjang Henry Gomes, di Ulu Teru, Baram, kira-kira lapan jam perjalanan dari sini Ahad malam.

Nansian, yang merupakan Naib Presiden kanan SPDP, bersama dengan Naib Presiden Entri, Dr Tiki, Rosey dan Ketua Penerangan Paulus, telah bertelingkah dengan Mawan berikutan keengganan mereka menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti sejak dua tahun lepas.

Kumpulan berkenaan, yang digelar 'SPDP Five' mendakwa Mawan gagal mengotakan janjinya untuk mengekalkan status quo dalam kepimpinan parti dengan menggantikan Entri dengan bekas wakil rakyat Ba'Kelalan, Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung.

Ini telah menyebabkan Entri dan empat yang lain menyerbu keluar daripada satu mesyuarat MT. Sejak itu mereka tidak pernah menghadiri mesyuarat tertinggi parti.
 
Berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap Entri bulan lepas, Mawan berkata ia hanyalah sebahagian daripada proses siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa disiplin parti dan tidak harus dianggap sebagai satu hukuman.

"Malah sehingga kini pintu saya masih terbuka tetapi pada masa yang sama anda tidak boleh bertolak ansur dengan mekanisme parti. Kami mempunyai sistem. Saya tidak boleh (sewenang-wenangnya) ketepikan ini (peraturan dan undang-undang parti) begitu sahaja," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut berhubung isu itu memandangkan inkuiri masih berjalan.

Berhubung lawatan beliau ke Ulu Teru, yang secara kebetulan di dalam bahagian pilihan raya negeri diwakili oleh Entri, Mawan, yang juga Menteri Kanan negeri dan Menteri Pembangunan Sosial berkata kehadirannya adalah untuk berinteraksi dengan rakyat tempatan di sana dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat di situ.

Menolak spekulasi awal bahawa kehadiran beliau tidak diterima di Ulu Teru, Mawan berkata penduduk yang datang lebih berminat untuk mengetahui masalah mereka didengar oleh pemimpin dan mahu mengetahui lebih lanjut tentang rancangan kerajaan untuk mereka.

"Ini bukan arena untuk menyelesaikan masalah dalam parti. Orang ramai mahu mendengar tentang pembangunan, yang suka kerajaan. Imej Barisan Nasional (BN) harus dipertahankan," katanya.

Katanya lawatan beliau adalah sebahagian daripada persediaan untuk menghadapi pilihan raya Parlimen di Baram akan datang, di mana parti itu telah mengesyorkan Naib Presiden kanan, Datuk Jacob Dungau Sagan, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dikekalkan sebagai calon BN.

Semasa sesi itu, yang dihadiri kira-kira 4,000 penduduk tempatan daripada 62 rumah panjang sekitar Ulu Teru, Baram, Mawan mengumumkan geran RM30,000 untuk Rumah Henry Gomes dan RM20,000 untuk membaik pulih gelanggang futsal Sekolah Kebangsaan Pengiran Entri yang terletak berhampiran.

Beliau juga mencadangkan agar SK Pengiran Entri dijadikan sekolah angkat di bawah kementeriannya dan akan mengarahkan pegawainya merancang mengadakan program sukan untuk sekolah itu.

-- BERNAMA

Tuesday, October 18, 2011

Pucuk Kepimpinan SPDP Perlu Belajar Menyesuaikan Diri - Taib

Memalukan betul isu dalaman dibesar-besarkan.  Semua yang terlibat berpangkat dan berpengaruh namun tidak ada disiplin di dalam parti!!??  Sampai bilakah SPDP akan bertahan dengan karenah pemimpin mereka??
Taib menyifatkan pergolakan SPDP ‘perbezaan pendapat pucuk kepimpinan’
Posted on October 18, 2011, Tuesday
  
KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan pergolakan dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebagai ‘perbezaan pendapat pucuk kepimpinan’.

Taib yang juga Ketua Menteri berkata, SPDP bagaimanapun merupakan sebuah parti yang sangat bersatu padu khususnya di peringkat akar umbi.

“Ia bukan sebuah krisis, tetapi sekadar perbezaan pendapat di peringkat pucuk kepimpinan.

“Mereka tidak mempunyai banyak perbezaan (pendapat) di peringkat akar umbi… tetapi di peringkat kepimpinan itu kadang-kadang terdapat persaingan, jadi mereka perlu belajar menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di sini, semalam.

Masalah dalam SPDP bermula apabila Kumpulan Berlima mengisytiharkan mereka hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap presiden parti, Tan Sri William Mawan Ikom.

Kumpulan berlima itu dianggotai oleh Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Peter Nansian Ngusie, Naib Presiden Datuk Sylvester Entri Muran, Naib Presiden Datuk Dr Tiki Lafe, Ketua Penerangan SPDP Paulus Palu Gumbang dan Ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus.

Menurut Nansian, ketegangan dalam parti bermula apabila Mawan gagal mengotakan janji untuk mengekalkan barisan sedia ada semasa pemilihan parti pada 23 Januari lepas.

Bara kemarahan kumpulan itu mula memuncak apabila Jawatankuasa Disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Entri dan menyifatkan Mawan gagal menguruskan krisis dalam parti dengan baik.

Katanya, Mawan perlu membentuk Jawatankuasa Penyesuaian atau Perpaduan sekiranya presiden serius mahu menyelesaikan konflik semasa dalam parti

Sunday, October 16, 2011

Nansian Tidak Gentar Menghadapi Presiden SPDP Kerana...

Apakah penyebab utama Rebel 5 tidak gentar dengan keputusan 10 bahagian parti untuk menyingkirkan mereka?   Sebelum ini mereka pernah dikaitkan dengan parti komponen lain BN namun telah dinafikan dalam akhbar tempatan.   Siapakah yang menjadi dalang mereka?  Adakah mereka di bawah perintah bakal Ketua Menteri Sarawak sehingga mereka lansung tidak gentar dengan apa jua keputusan parti mereka?

Kumpulan SPDP 5 tak gentar: Nansian

Posted Utusan Borneo on October 15, 2011, Saturday
PETER NANSIAN

BAU: Kumpulan SPDP 5 tidak gentar dengan desakan 10 bahagian Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dari Zon Tengah yang mahu mereka disingkirkan daripada parti.

Anggota SPDP 5, Datuk Peter Nansian yang juga Naib Presiden Kanan parti yang enggan mengulas lanjut perkara ini berkata: “Komen saya ringkas, hanya satu ayat sahaja… kami tidak percaya orang itu (Presiden Tan Sri William Mawan).

“Tiada apa lagi untuk dibincangkan… kami tidak percaya beliau lagi…noktah!” tegasnya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media Festival Gong Sarawak 2011 di sini semalam.

Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, bagaimanapun enggan mendedahkan tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh mereka berhubung perkara ini.

Beliau hanya terus bertegas bahawa mereka (SPDP 5) telah hilang keyakinan terhadap presiden dan tidak mahu perkara ini dibangkitkan lagi.

Mengulas mengenai desakan 10 bahagian SPDP pula, Nansian berkata, ia terpulang kepada mereka untuk berkata apa-apa, namun beliau bertegas tidak gentar dengan desakan itu.

Sepuluh bahagian terbabit ialah SPDP Bahagian Bawang Assan, Nangka, Pelawan, Dudong, Bukit Asek, Tamin, Pakan, Meluan, Machan dan Ngemah.

Setiausaha SPDP Zon Tengah, Ngelai Majan yang mewakili 10 bahagian SPDP terbabit semalam berkata Kumpulan SPDP 5 itu telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Mawan.

Namun pada masa yang sama, menurutnya, mereka (SPDP 5) tidak mempunyai dendam peribadi terhadap Mawan.

Friday, October 14, 2011

Ngelai Mahu Rebel 5 Disingkir!!??

Berikutan dengan sidang akhbar semalam, hari ini Setiausaha SPDP Zon Tengah mengsyorkan agar Rebel 5 atau Kumpulan 5 ini terus disingkirkan.  Ini kerana mengaku bahawa mereka ber5 telah hilang kepercayaan dan keyakinan dengan kepimpinan presiden mereka sekarang.

Punca mereka 'memberontak' kononnya hasil daripada pemilihan calon dan cara pengendalian parti semasa PRN Sarawak ke- 10 yang lepas. 

Mereka juga tidak berpuas hati kerana dikenakan tindakan disiplin apabila tidak menghadirkan diri ke mesyuarat.  Apakah hasil daripada penyiasatan yang telah dijalankan?  Adakah mereka ber5 ini akan didenda atau disingkirkan terus daripada SPDP?  Sama-samalah kita nantikan bersama.... 


Singkirkan Kumpulan 5 SPDP
Utusan Borneo Fri 14/10/2011 11:45 AM 
Demikian pendirian 10 bahagian SPDP zon tengah kenyataan kumpulan itu yang hilang kepercayaan terhadap Mawan

SIBU: Sepuluh bahagian Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dari zon tengah mahu ahli Kumpulan 5 disingkirkan daripada parti terbabit berikutan kenyataan mereka yang hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom.

Bahagian terbabit ialah SPDP Bahagian Bawang Assan, Nangka, Pelawan, Dudong, Bukit Assek, Tamin, Pakan, Meluan, Machan dan Ngemah.

Setiausaha SPDP Zon Tengah Ngelai Majan yang mewakili 10 bahagian SPDP terbabit berkata, Kumpulan 5 itu telah menyatakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mawan, namun pada masa sama memberitahu tidak mempunyai dendam peribadi terhadap beliau.

“Dalam kenyataan sebelum ini, mereka menyuarakan sokongan penuh kepada presiden tetapi pada masa sama menuduh beliau berlaku tidak adil dan konsisten. Ini sesuatu yang amat bercanggah,” ujarnya pada satu sidang media di sini, semalam.

Menurut Ngelai, presiden parti amat bertolak ansur, sabar dan tenang dalam menyelesaikan konflik semasa yang berlaku dalam parti, terutama melibatkan Kumpulan 5 terbabit.

Katanya, ahli-ahli parti di peringkat bahagian telah sedar yang pihak yang patut disalahkan dalam konflik terbabit adalah mereka yang menggelarkan diri mereka Kumpulan SPDP 5.

“Mengapa mereka perlu membawa keluar masalah dalam parti dan menentang presiden. Pada masa sama mereka mencemuh parti serta melabelkan presiden tidak mempunyai belas kasihan.

“Kita tidak harus hilang keyakinan dan kepercayaan kepada presiden, tetapi kepada mereka (Kumpulan 5) lebih-lebih lagi berhubung bagaimana mereka berdepan dengan konflik yang berlaku,” jelas Ngelai.

Ngelai yang juga setiausaha SPDP Bahagian Bawang Assan berkata, Kumpulan 5 terbabit juga tidak lagi menghormati Majlis Tertinggi (MT) parti dengan tidak menghadiri mesyuarat bagi tempoh lebih dua tahun.

“Sebagai ahli parti dan MT, kita juga sibuk dengan tugas namun kita dapat hadir pada mesyuarat selama ini,” katanya sambil menambah alasan yang diberikan oleh mereka itu hanya alasan semata-mata.

Menurut beliau lagi, Kumpulan 5 itu sekadar berlakon dengan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti yang diadakan sebelum pilihan raya negeri April lepas.

“Mereka ini juga yang melibatkan pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional dalam konflik semasa dalam parti. Apakah ini dilakukan bagi mendapatkan simpati pemimpin BN yang lain.

“Kami ahli parti dari zon tengah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada presiden dan juga parti,” tambah Ngelai.

Kumpulan 5 dalam sidang media kelmarin menyuarakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mawan dengan memberitahu bahawa presiden parti tidak lagi dapat menyelesaikan konflik dalam parti secara baik.

Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Peter Nansian Ngusie dipetik berkata, mereka tidak mempunyai dendam peribadi terhadap presiden dan sesiapa sahaja dalam parti, tetapi tidak bersetuju dengan cara pengurusan parti yang boleh menjejaskan kekuatan BN. Selain Nansian, hadir sama ialah Naib Presiden Datuk Sylvester Entrie Muran dan ahli-ahli MT iaitu Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

Konflik Dalaman SPDP Harus Selesai Secara Halus!!!

Konflik dalaman SPDP seharusnya tidak patut dihebohkan kepada rakyat.  Urusan pemimpin hendaklah antar pemimpin dan tidak patut melibatkan rakyat.  Sekarang hal ini sudah kecoh, segala usaha untuk merungkai pertikaian dan meleraikan salah faham adalah menjadi sungguh sukar!!!

Bagaimana jua sekali pun setiap konflik hendaklah diselesaikan dengan perundingan yang akan menguntungkan kedua-dua belah pihak.  Selamat berusaha untuk menangani konflik ini kepada SPDP!!!

Kumpulan 5 umum hilang keyakinan terhadap Mawan

 
Posted Utusan Borneo Thu 13/10/2011 10:48 AM
 
KUCHING: Kumpulan berlima Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengumumkan secara rasmi semalam bahawa sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom.

Membuat pengumuman itu pada sidang media semalam, Naib Presiden Kanan SPDP. Datuk Peter Nansian Ngusie memberitahu, presiden parti itu tidak lagi dapat menyelesaikan konflik dalam parti secara baik.

“Kami tidak mempunyai dendam peribadi terhadap presiden dan sesiapa sahaja dalam parti, tetapi hanya tidak bersetuju dengan cara pengurusan parti yang boleh menjejaskan kekuatan BN dan kemampuan kita untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat, yang mana amat penting, mesti dilindungi setiap masa dan diletakkan di atas kepentingan kami,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden Datuk Sylvester Entrie dan ahli-ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

Nansian berkata, sebuah ‘Jawatankuasa Penyesuaian atau Perpaduan’ harus dibentuk sekiranya Presiden serius mahu menyelesaikan konflik semasa dalam parti.

Jelasnya, tindakan Mawan yang menyuruh Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap mereka adalah sangat tidak adil dan dilakukan semata-mata untuk ‘memancung’ mereka.

Pengumuman itu juga dibuat untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Disiplin kepada Entrie, katanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaan kerana Mawan telah banyak membuat kenyataan berunsur kontroversi, sekali gus mewujudkan perasaan tidak senang dan syak wasangka dalam parti serta antara parti-parti komponen BN terhadap mereka.

“Ketika kita menggalakkannya untuk menguruskan parti dengan penuh prinsip, konsisten, adil, dan dengan ikhlas dalam mengekalkan perpaduan dan kestabilan parti, kita dilabelkan sebagai ‘Rebel 5’ dan ‘Kumpulan 5’… siapa yang memulakan ketegangan dalam parti?” katanya.

Mereka turut mengakui punca ‘peperangan’ dengan Mawan adalah apabila tidak mengotakan janjinya untuk mengekalkan barisan sedia semasa pilihan raya parti pada 23 Januari lepas.

Sementara itu, mereka turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan BN di peringkat kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Pengerusi BN negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan akan terus berkhidmat di konstituensi masing-masing.

“Kita akan lebih bersatu dalam BN. Kerumitan dan masalah dalaman SPDP hanya boleh difahami oleh ahli-ahli dalam parti,” katanya.

Ditanya sama ada mereka mahu presiden meletak jawatan atau menubuhkan sebuah parti baru, Nansian yang enggan mengulas bagaimanapun berkata: “Kita terbuka kepada apa-apa sahaja cadangan penyelesaian, tetapi kita mahu mencari jalan penyelesaian terbaik dan anda akan tahu apabila ia berakhir,” katanya.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More