Wednesday, June 15, 2011

Tingkatkan Ciri-ciri Keselamatan Tebingan Sungai Sarawak

Baru-baru ini terdapat berbagai kes samun, bunuh dan kecurian di Tebingan Sungai Sarawak.  Dengan adanya pemantapan dalam ciri-ciri keselamatan seperti CCTV maka diharap gejala jahat ini akan dapat dikurangkan dan terus dikawal.  

Setiap pelancong yang berkunjung akan berasa selamat di samping dapat menikmati keindahan tebingan sungai Sarawak tanpa rasa bimbang dan khuatir dengan keselamatan mereka.  
 
Syabas di atas inisiatif kerajaan untuk memantapkan ciri-ciri keselamatan di tebingan sungai Sarawak.
SELAMAT: Persekitaran yang kondusif untuk bersantai di bawah pohon yang redup di Tebingan Kuching. — Gambar Johnathan Bullet
Cadangan pemasangan CCTV di Tebingan Kuching disambut baik

Posted on Utusan Borneo June 14, 2011, Tuesday

KUCHING: Orang ramai menyambut baik cadangan Kementerian Pelancongan dan Warisan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Tebingan Kuching dan beberapa kawasan strategik di bandar raya ini.

“CCTV sepatutnya dipasang lama dulu. Tebingan Kuching dengan mudah dilalui pengangkutan awam, yang memang diperlukan tetapi ia juga menarik pelbagai jenis orang ke tempat tersebut.

“Terlalu banyak kes jenayah sejak beberapa tahun lalu dan saya tahu ramai penduduk tempatan takut pergi ke sini termasuk pada waktu siang.

“Walaupun polis ada meronda di situ, masih terasa tidak selamat meman-dangkan penjenayah kini lebih bijak dan licik berbanding sebelum ini.

“CCTV sudah tentu akan meningkatkan keselamatan kerana bakal penjenayah akan berfikir dua kali sebelum bertindak kerana aksi mereka akan dirakam oleh kamera,” kata Nur Diyanah, seorang pembantu peribadi ketika ditemu bual The Borneo Post semalam.

Bagi sesetengah penduduk, pemasangan CCTV hanya mengatasi masalah sebanyak 50 peratus.

“Lima puluh peratus lagi adalah bergantung kepada unit rondaan polis dan berapa pantas mereka bertindak balas terhadap situasi.

“CCTV hanya satu alat untuk membantu polis secara efektif mengesan tempat kejadian jenayah atau menggunakannya sebagai bukti.

“Jika tidak, apa yang dirakam dalam kamera hanya tinggal aksi dalam video,” kata Michael Chin, seorang jurufoto profesional yang memiliki Mick Long Bridal Studio.

Beliau turut menyatakan bahawa kamera pengawasan akan menjadi satu lagi bentuk kawalan keselamatan yang akan meningkatkan daya tarikan Tebingan Kuching, yang memiliki banyak tempat cantik dan bersejarah, sudah tentu menarik sebagai latar belakang foto perkahwinan.

Di sesetengah negara, pemasangan CCTV di kawasan awam boleh bertukar menjadi topik perdebatan tentang privasi pelawat tetapi orang awam di sini tidak melihatnya sebagai satu masalah.

“Masyarakat harus sedar bahawa Tebingan Kuching adalah sebuah tempat awam, jadi memasang CCTV di situ tidak akan melanggar privasi orang ramai.

“Ia akan mengingatkan mereka juga agar tidak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kerana ramai ahli keluarga dan kanak-kanak pergi ke situ.

“Tebingan Kuching adalah satu tarikan yang memberikan pemandangan indah Sungai Sarawak dan tempat-tempat menarik seperti Astana, Kompleks DUN baru dan Fort Margherita.

“Saya sendiri akan membawa anak-anak saya sekali seminggu untuk menikmati pemandangan dan makanan di sini,” kata bapa kepada tiga anak, Liong Chee Chiang yang berasal dari Sibu.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang mengumumkan perkara itu Jumaat lalu, berkata langkah itu akan meningkatkan tahap keselamatan di Tebingan Kuching.

Seorang pekerja pejabat, Alicia Ng yang bekerja dalam industri pelancongan menyatakan bahawa untuk me-ningkatkan lagi industri pelancongan bandar raya ini, kita perlu memastikan pelancong membawa balik cerita positif tentang bandar raya kita.

“Sejak beberapa tahun kebalakangan ini, kita mendengar cerita-cerita ragut atau rompakan, malah khabar angin turut tersebar tentang seorang pesakit AIDS psiko (sakit mental) mundar-mandir sambil menyerang pejalan kaki dengan jarum yang sudah dijangkiti kuman penyakit berkenaan.

“Walaupun sesetengah cerita memang karut dan diperbesar-besarkan, cerita-cerita yang kita dengar adalah bukti imej buruk dan tidak betul yang ada di kalangan penduduk tempatan terhadap Tebingan Kuching.

“Malah pelancong diberi amaran agar berhati-hati dengan kamera mereka dan tidak membawa beg yang berat jika mereka mahu pergi ke Tebingan Kuching,” katanya, sambil menambah bahawa cerita-cerita itu adalah bertentangan dengan usaha berterusan untuk meningkatkan lagi pelancongan dan aktiviti masyarakat di Tebingan Kuching.

“Bagaimanapun, pemasangan CCTV hanyalah langkah pencegahan awal, memandangkan adalah perlu dan berguna untuk mengesan suspek dan menghalang kewujudan jenayah.

“Apa yang lebih penting adalah perubahan minda dan moral secara menyeluruh dalam masyarakat kita,” katanya.

Sebenarnya banyak usaha dilakukan oleh Kuching Waterfront Management serta pemain industri pelancongan untuk mempromosikan aktiviti di sepanjang Tebingan Kuching.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More