Wednesday, March 30, 2011

Patuhi Undang-undang Semasa Berkempen

Kawasan berikut telah diklasifikasi sebagai kawasan panas oleh SPR.  

  1. N.4 Pantai Damai - Dr Abdul Rahman Junaidi  
  2. N.12 Kota Sentosa - Chong Chieng Jen 
  3. N.13 Batu Kawah - Tan Joo Phoi 
  4. N.19 Kedup - Frederick Bayoi Manggie 
  5. N.39 Repok - Datuk David Teng Lung Chi 
  6. N.46 Dudong - Datuk Dr Soon Choon Teck 
  7. N.48 Pelawan - Vincent Goh 
  8. N.49 Nangka -Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah
  9. N.51 Balingian - Ketua Menteri Sarawak
Panas disebabkan oleh orang yang bertanding di situ?  Panas kerana majoriti pengundi di kawasan di situ tidak suka ADUN yang berkempen di situ?  Panas kerana persaingan sengit yang melihat bakal calon yang bertanding sama hebat?!!! 

Panas kerana orang kuat SPR yang akan disokong oleh pegawai polis berpangkat inspektor?  Mereka ini akan menguatkuasakan undang -undang semasa pilihanraya dijalankan.  Sesiapa yang tidak mengikut undang-undang akan didakwa terus.  

Putih Maya mahu mengingatkan agar semua ceramah dibekalkan dengan permit yang sah!!


Sembilan kawasan panas 
by Oleh Agnes Tugong. Posted on March 29, 2011, Tuesday
PANDUAN: Wan Ahmad menunjukkan buku panduan penguatkuasaan yang akan digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak April ini.
SPR hantar pasukan penguatkuasa pantau kempen pilihan raya yang dijangka sengit

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai kawasan panas pada Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10, April depan.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kawasan berkenaan ialah N.4 Pantai Damai, N.12 Kota Sentosa, N.13 Batu Kawah, N.19 Kedup, N.39 Repok, N.46 Dudong, N.48 Pelawan, N.49 Nangka dan N.51 Balingian.
Sembilan kawasan DUN panas yang bakal menyaksikan kempen-kempen yang cukup sengit itu ketika ini disandang oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (BN-PBB) bagi DUN Balingian; Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (BN-PBB) – Nangka; Vincent Goh (BN-SUPP) – Pelawan; Datuk Dr Soon Choon Teck (BN-SUPP) – Dudong; Datuk David Teng Lung Chi (BN-SUPP) – Repok; Frederick Bayoi Manggie (BN-PBB) – Kedup; Tan Joo Phoi (BN-SUPP) – Batu Kawah; Chong Chieng Jen (DAP) – Kota Sentosa dan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-PBB) – Pantai Damai.
Bagi memastikan aktiviti kempen berjalan dengan lancar, pihak SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di kesemua sembilan kawasan DUN panas ini.
“Setiap pasukan PPKPR yang ditubuhkan akan dianggotai lima orang petugas terdiri daripada pegawai SPR, pegawai polis berpangkat inspektor ke atas, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang wakil bagi setiap calon yang bertanding.
“Bagi sembilan kawasan DUN yang dikenal pasti sebagai kawasan panas ini, pasukan PPKPR yang ditubuhkan akan dibahagikan kepada dua kawasan untuk dipertanggungjawabkan kelak.
“Ketua pasukan dalam pada itu akan diberikan kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana parti politik yang didapati melanggar peraturan kempen yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sebelum menghadiri sesi Taklimat Penguatkuasaan Pilihan Raya bagi Zon Kuching di salah sebuah hotel terkemuka di sini membabitkan 32 kawasan DUN semalam.
Jelasnya, antara perkara yang akan dipantau oleh pasukan PPKPR pada pilihan raya kelak membabitkan aktiviti berkempen sama ada berpermit atau tidak, bahan kempen yang dipasang pada poster dan perkataan yang digunakan tidak bercanggah dengan isu sensitif.
Pihak SPR dalam pada itu katanya, akan menggunakan pendekatan mesra ketika memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Tegasnya, mana-mana poster atau sepanduk yang didapati tidak mematuhi peraturan kempen akan diarah untuk diturunkan serta-merta.
Oleh itu katanya, semua pihak yang terlibat dalam aktiviti kempen kelak diingatkan supaya memberikan kerjasama dengan pegawai dan petugas bagi memastikan proses berkempen berjalan lancar.
Dalam pada itu, SPR meletakkan jangkaan optimistik ke atas peratusan undi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini.
SPR katanya, sentiasa berharap peratusan undi sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kepada kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka kepada negeri dan negara.
Pada pilihan raya 16 April depan, SPR melantik 24,376 orang pegawai dan petugas pilihan raya serta menubuhkan 80 pasukan PPKPR bagi membantu SPR memantau aktiviti kempen.
Bagi melancarkan lagi proses pilihan raya negeri kali ini, SPR akan menggunakan 843 perahu, 4,449 kenderaan pacuan empat roda, 27 helikopter dan dua pesawat ringan dari dalam negara dan luar iaitu Filipina dan Kalimantan Indonesia.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha SPR Datuk Nordin Che Ngah sekali gus menyampaikan taklimat kepada kira-kira 32 pegawai petugas daripada 32 kawasan DUN Zon Kuching.

Thursday, March 24, 2011

Pelan Peralihan Ketua Menteri Sarawak


Pelan peralihan Presiden PBB akan perlu masa kerana pemimpin memerlukan kerjasama daripada semua peringkat termasuk akar umbi.  Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan disegani oleh semua kaum di Sarawak ini.
  
Jangan mudah terpengaruh dengan isu pihak pembangkang kerana mereka hanyalah pejuang isu.  Mereka tidak pandai mentadbir apa lagi memajukan ekonomi negeri.  Lihat sahaja di Kelantan Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.   Tunggu dan nantikan pucuk pimpinan baru yang pasti berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke -10 ini.  


20 Mac, 2011 17:50 PM

Abang Johari Pertahan Pelan Peralihan Presiden PBB

KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyangkal dakwaan pembangkang bahawa keputusan presiden parti dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berundur selepas pilihan raya negeri adalah tidak ikhlas kerana tiada tarikh diberikan.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata tidak perlu mengumumkan tarikh untuk meletakkan jawatan atau tempoh masa pelan peralihan itu kerana proses membimbing pemimpin untuk mengambil alih pentadbiran negeri perlukan perancangan rapi tanpa campur tangan pihak luar.

"Beliau (Abdul Taib) tahu apa nak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi bertemu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Pending, anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), PBB Bahagian Pending dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bahgaian Penging di dewan Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Pending di sini hari ini.

Semalam, Taib, buat pertama kalinya mengumumkan perancangan persaraannya apabila menegaskan pilihan raya negeri ke-10 akan datang adalah yang terakhir baginya sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada penggantinya.

Pengumuman beliau itu bagaimanapun disambut dengan penuh skeptikal oleh pembangkang.

Ramai di kalangan pembangkang mempersoalkan keikhlasan Taib, dalam blog dan protal berita, apabila ketua menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini tidak menamakan bakal penggantinya dan enggan mendedahkan tarikh sebenar beliau akan meletakkan jawatan ketua menteri yang dipegangnya selama tiga dekad.

Selain pelbagai dakwaan oleh pembangkang di internet, terdapat juga kebimbangan di kalangan penyokong setia PBB bahawa akan berlaku perebutan bagi jawatan utama dalam parti itu yang telah menjadi tunggak Barisan Nasional negeri lebih 30 tahun.

Dilaporkan selain daripada Abang Johari, naib presiden kanan parti yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti dalam pelan peralihan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri, menjelaskan keputusan mencalonkan pakar kardiologi terkemuka dunia Prof Dr Sim Kui Hian sebagai calon SUPP dan BN di kerusi Pending yang majoriti penduduknya Cina.

"Tolong nilai prestasi wakil rakyat (Pending) anda selama lima tahun lepas kerana kami tidak dapat berbuat apa-apa jika anda terus mengemukakan aduan kerana kawasan ini di bawah pembangkang," katanya.

Dr Sim, yang bapanya ialah mendiang Tan Sri Sim Kheng Hong, bekas timbalan ketua menteri, kemungkinan akan ditentang oleh peguam Violet Yong, dari DAP yang merupakan wakil rakyat kawasan itu sekarang.

-- BERNAMA

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More