Friday, July 22, 2011

James Wong, ‘Bapa Pemodenan Limbang’



Posted on borneopost.com July 22, 2011, Friday

Kehilangan beliau paling dirasai rakyat Limbang yang banyak menerima pembangunan

LIMBANG: Mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min yang merupakan ahli politik ternama dan selayaknya diiktiraf sebagai ‘Bapa Pemodenan Limbang’ kerana telah membawa banyak kemajuan dan membangunkan Limbang seiring dengan kawasan lain di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara, negeri dan terutama sekali Limbang kerana mendiang Wong telah mempelopori projek pembangunan utama seperti pasar, Lapangan Terbang Limbang, Golden Jubilee Waterfront, kompleks Sukan Limbang dan kolam renang.

“Kita akan meneruskan kerja-kerja mendiang dan generasi pemimpin baru harus mencontohi sumbangan beliau,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kampung halamannya di Jalan Pandaruan di sini semalam.

“Kami akan sentiasa memperingati beliau sebagai orang yang telah mempelopori pembangunan-pembangunan di Limbang dan kita seharusnya berbangga dengan sumbangan yang telah diberikan oleh mendiang,” tambah beliau.

Jenazah mendiang diterbangkan ke Limbang dari Kuching dan tiba tengah hari semalam untuk disemadikan di sini.

Antara yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir semalam ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibolah dan ahli-ahli exco Dewan Perniagaan dan Industri Cina Limbang (LCCCI) yang diketuai oleh Lim Chwee Cheng.

Jenazah Wong akan disemadikan di tapak pengebumian milik keluarga yang terletak tidak jauh dari kediaman pusaka keluarga mendiang di Limbang.

Mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min, bekas timbalan ketua menteri yang pertama dan menteri kabinet negeri serta telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Malaysia meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 89 tahun Isnin lalu.

Mendiang meninggalkan isteri, Datin Amar Velerie Bong, lapan anak, 13 cucu dan empat cicit.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More