Wednesday, March 30, 2011

Patuhi Undang-undang Semasa Berkempen

Kawasan berikut telah diklasifikasi sebagai kawasan panas oleh SPR.  

  1. N.4 Pantai Damai - Dr Abdul Rahman Junaidi  
  2. N.12 Kota Sentosa - Chong Chieng Jen 
  3. N.13 Batu Kawah - Tan Joo Phoi 
  4. N.19 Kedup - Frederick Bayoi Manggie 
  5. N.39 Repok - Datuk David Teng Lung Chi 
  6. N.46 Dudong - Datuk Dr Soon Choon Teck 
  7. N.48 Pelawan - Vincent Goh 
  8. N.49 Nangka -Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah
  9. N.51 Balingian - Ketua Menteri Sarawak
Panas disebabkan oleh orang yang bertanding di situ?  Panas kerana majoriti pengundi di kawasan di situ tidak suka ADUN yang berkempen di situ?  Panas kerana persaingan sengit yang melihat bakal calon yang bertanding sama hebat?!!! 

Panas kerana orang kuat SPR yang akan disokong oleh pegawai polis berpangkat inspektor?  Mereka ini akan menguatkuasakan undang -undang semasa pilihanraya dijalankan.  Sesiapa yang tidak mengikut undang-undang akan didakwa terus.  

Putih Maya mahu mengingatkan agar semua ceramah dibekalkan dengan permit yang sah!!


Sembilan kawasan panas 
by Oleh Agnes Tugong. Posted on March 29, 2011, Tuesday
PANDUAN: Wan Ahmad menunjukkan buku panduan penguatkuasaan yang akan digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak April ini.
SPR hantar pasukan penguatkuasa pantau kempen pilihan raya yang dijangka sengit

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai kawasan panas pada Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10, April depan.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kawasan berkenaan ialah N.4 Pantai Damai, N.12 Kota Sentosa, N.13 Batu Kawah, N.19 Kedup, N.39 Repok, N.46 Dudong, N.48 Pelawan, N.49 Nangka dan N.51 Balingian.
Sembilan kawasan DUN panas yang bakal menyaksikan kempen-kempen yang cukup sengit itu ketika ini disandang oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (BN-PBB) bagi DUN Balingian; Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (BN-PBB) – Nangka; Vincent Goh (BN-SUPP) – Pelawan; Datuk Dr Soon Choon Teck (BN-SUPP) – Dudong; Datuk David Teng Lung Chi (BN-SUPP) – Repok; Frederick Bayoi Manggie (BN-PBB) – Kedup; Tan Joo Phoi (BN-SUPP) – Batu Kawah; Chong Chieng Jen (DAP) – Kota Sentosa dan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-PBB) – Pantai Damai.
Bagi memastikan aktiviti kempen berjalan dengan lancar, pihak SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di kesemua sembilan kawasan DUN panas ini.
“Setiap pasukan PPKPR yang ditubuhkan akan dianggotai lima orang petugas terdiri daripada pegawai SPR, pegawai polis berpangkat inspektor ke atas, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang wakil bagi setiap calon yang bertanding.
“Bagi sembilan kawasan DUN yang dikenal pasti sebagai kawasan panas ini, pasukan PPKPR yang ditubuhkan akan dibahagikan kepada dua kawasan untuk dipertanggungjawabkan kelak.
“Ketua pasukan dalam pada itu akan diberikan kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana parti politik yang didapati melanggar peraturan kempen yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sebelum menghadiri sesi Taklimat Penguatkuasaan Pilihan Raya bagi Zon Kuching di salah sebuah hotel terkemuka di sini membabitkan 32 kawasan DUN semalam.
Jelasnya, antara perkara yang akan dipantau oleh pasukan PPKPR pada pilihan raya kelak membabitkan aktiviti berkempen sama ada berpermit atau tidak, bahan kempen yang dipasang pada poster dan perkataan yang digunakan tidak bercanggah dengan isu sensitif.
Pihak SPR dalam pada itu katanya, akan menggunakan pendekatan mesra ketika memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Tegasnya, mana-mana poster atau sepanduk yang didapati tidak mematuhi peraturan kempen akan diarah untuk diturunkan serta-merta.
Oleh itu katanya, semua pihak yang terlibat dalam aktiviti kempen kelak diingatkan supaya memberikan kerjasama dengan pegawai dan petugas bagi memastikan proses berkempen berjalan lancar.
Dalam pada itu, SPR meletakkan jangkaan optimistik ke atas peratusan undi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini.
SPR katanya, sentiasa berharap peratusan undi sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kepada kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka kepada negeri dan negara.
Pada pilihan raya 16 April depan, SPR melantik 24,376 orang pegawai dan petugas pilihan raya serta menubuhkan 80 pasukan PPKPR bagi membantu SPR memantau aktiviti kempen.
Bagi melancarkan lagi proses pilihan raya negeri kali ini, SPR akan menggunakan 843 perahu, 4,449 kenderaan pacuan empat roda, 27 helikopter dan dua pesawat ringan dari dalam negara dan luar iaitu Filipina dan Kalimantan Indonesia.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha SPR Datuk Nordin Che Ngah sekali gus menyampaikan taklimat kepada kira-kira 32 pegawai petugas daripada 32 kawasan DUN Zon Kuching.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More