Thursday, October 27, 2011

Muhyiddin Mahu Negeri Pakatan Jawab Teguran Ketua Audit Negara

Pihak pembangkang juga perlu menyatakan dan menjawab teguran yang diberi oleh Ketua Audit Negara.  Jangan hanya pandai menunding jari telunjuk tetapi ibu jari tetap menunding kepada diri sendiri.

Kalau setakat perjalanan ke Hong Kong yang tidak dapat membawa apa-apa pulangan kepada ekonomi negeri mahupun negara, maka ini sudah dianggap sebagai perbelanjaan yang boros juga dan tidak teliti ketika membuat pertimbangan?!!!
Negeri pakatan juga perlu jawab teguran Ketua Audit Negara: TPM
Posted Berita Harian,  2011/10/27 
 
SITIAWAN: Kerajaan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang PKR, PAS dan DAP juga perlu menjawab beberapa teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 kerana laporan itu mencakupi prestasi semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak patut sesuka hati melabel bahawa kelemahan perbelanjaan yang didedahkan dalam laporan itu adalah bukti kegagalan program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjawab soalan wartawan ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengkritik dasar transformasi kerajaan berikutan ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu.

"Laporan itu mencakupi semua agensi dan kerajaan-kerajaan negeri. Tidak juga terkecuali kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang. Ada juga teguran dari audit yang mereka perlu jawab," katanya kepada pemberita selepas melancarkan akhbar mini 'The School Times' di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh di Lekir dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, Anwar yang pernah berada dalam kerajaan dahulu sebagai Timbalan Perdana Menteri semestinya tahu bahawa laporan Ketua Audit Negara itu sentiasa disertakan dengan teguran-teguran penting untuk memastikan perbelanjaan negara dilaksanakan dengan penuh hemah dan baik.

"Laporan ini sebenarnya menunjukkan sesuatu, iaitu tanggungjawab Ketua Audit Negara mengambil kira semua aspek dan tentulah kalau ada kelemahan-kelemahan itu perlu diperbaiki.

"Waktu Ketua Pembangkang dalam kerajaan pun, dia menerajui banyak kementerian pun, dia tahu juga perkara ini, walaupun kita membuat penjelasan kepada juruaudit tetapi teguran sebegitu amat penting juga dan ia akan disertakan di dalam laporan," katanya.  
Oleh itu, Muhyiddin berharap semua kementerian dan agensi yang meneliti laporan itu supaya mengambil tindakan segera untuk memperbaiki kelemahan serta cara mereka membelanjakan peruntukan yang diberikan kepada mereka.

"Ini bukan pertama kali, kita mahu peraturan, cara perbelanjaan, wang yang diperuntukkan itu digunakan secara baik-baik. Tidak ada pembaziran, tidak ada salah guna, sekiranya ada elemen-elemen penyalahgunaan kuasa, langkah tertentu seperti tindakan disiplin boleh diambil.

"Kita juga perlu memastikan beberapa perkara asas seperti akauntabiliti, ketelusan dan apa-apa asas yang kita gunakan untuk menguruskan perbelanjaan negara itu mesti digunakan sebagai panduan utama untuk kebaikan rakyat jelata," katanya.

Mengenai akhbar mini itu, Muhyiddin berkata akhbar itu adalah inisiatif New Straits Times Press Bhd (NSTP) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan diedarkan ke 500 sekolah terpilih di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengalu-alukan langkah NSTP itu dan berkata ia mampu membantu pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

Akhbar itu sudah pun mula diedarkan ke sekolah-sekolah berkenaan sejak 29 September lalu dan ia diterbitkan setiap hari Khamis setiap minggu.

'School Times' yang memuatkan berita dan aktiviti itu diwujudkan khas untuk membantu pelajar sekolah terutamanya di luar bandar untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik pada masa sama didedahkan berkenaan pengetahuan am dan cara pemikiran kreatif.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan "Turun Padang" sehari ke Perak menghadiri pelbagai program bersama rakyat antaranya bertemu dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan meraikan sambutan Deepavali di Little India di Ipoh malam ini. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More