Wednesday, November 23, 2011

RESOLUSI KONVENSYEN MEDIA SOSIAL 1MALAYSIA 2011

RESOLUSI KONVENSYEN MEDIA SOSIAL 1MALAYSIA 2011

BAHAWASANYA kami peserta Konvensyen Media Sosial 1Malaysia,

1. Mengakui bahawa Gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan pelan transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri merupakan satu langkah berwawasan bertujuan untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik di dalam negara

2. Menginsafi akan peri pentingnya bagi kerajaan, para pemimpin dan penggiat media sosial untuk mempunyai hala tuju dan pelan komunikasi yang terancang agar usaha menyebarkan maklumat dan memperjelaskan isu dapat dibuat secara lebih berkesan

3. Menyedari bahawa terdapat pihak tertentu yang sanggup menggunakan pelbagai cara yang tidak beretika serta menyebar kepalsuan semata-mata untuk memberi imej yang negatif terhadap pemimpin dan usaha murni kerajaan

4. Mengiktiraf akan kepentingan media sosial yang menjadi saluran informasi dan komunikasi pilihan generasi muda hari ini serta keperluan untuk memanfaatkan sepenuhnya media sosial ini sebagai saluran utama bagi mendekati golongan muda dan menyampaikan maklumat kepada mereka

Maka dengan ini, Konvensyen Media Sosial 1Malaysia mengambil ketetapan untuk:

Pertama, menggesa agar hala tuju dan pelan komunikasi yang tersusun dirangka serta dikoordinasikan dengan baik supaya maklumat dan isu dapat dijelaskan dengan lebih berkesan

Kedua, mencadangkan agar sebuah bank informasi dibangunkan bagi memudahkan penggiat media sosial untuk membuat rujukan dan berkongsi maklumat dengan mudah dan pantas seterusnya membolehkan ia disebarkan kepada masyarakat pelbagai peringkat dan lapisan demi mempertahankan kebenaran

Ketiga, menubuhkan satu sekretariat bagi menguruskan bank informasi ini secara efisien dan efektif.

Keempat, menyarankan agar penglibatan golongan muda melalui pelbagai platform dalam program transformasi Kerajaan dipertingkatkan bagi memberikan mereka gambaran yang jelas mengenai komitmen kerajaan terhadap rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan mereka untuk menjelaskan transformasi yang sedang dilaksanakan ini di media sosial

Kelima, menyatakan komitmen untuk mengadakan siri jelajah Media Sosial 1Malaysia ke seluruh Negara sebagai satu lagi langkah bagi mendekati penggiat media sosial dari setiap lapisan.

Keenam, mendesak agar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional segera meningkatkan penglibatan di media sosial, memanfaatkan sepenuhnya media ini untuk merasai denyut nadi rakyat serta memenangi hati mereka dan secara pro aktif menyebarkan maklumat, memperjelas isu dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan.

Ketujuh, menyarankan agar Perdana Menteri menjadikan penglibatan aktif dalam media sosial sebagai salah satu kriteria untuk seseorang dinamakan sebagai calon dalam pilihanraya.

Kelapan, berikrar akan bersatu hati dan bersungguh-sungguh membantu kerajaan menyebarkan maklumat, memperjelas isu, menegak kebenaran dan menangkis kepalsuan

Kesembilan menyeru agar semua penggiat media sosial memberi sepenuh tumpuan kepada agenda bersama dan mengetepikan segala perbezaan serta perbalahan peribadi dan kumpulan.

Kesepuluh, berjanji untuk menggunakan media sosial secara bertanggungjawab demi memastikan hasrat Gagasan 1Malaysia dan pelan transformasi terlaksana dengan jayanya!

Bertarikh pada 20 haribulan November 2011

Kenyataan Media MyVo1ce : Kenyataan Media Yang Di Pertua 1AGENDA

Untuk makluman rakan-rakan dan para sahabat Blogger semua, Konvensyen Media Sosial 1Malaysia (KMS1M) adalah program Pertubuhan Agenda Sosial Media 1Malaysia (1AGENDA) dan bukan diinisiatifkan oleh mana-mana Kementerian seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.


YB Dato’ Mohd Sharkar dilantik Pengerusi kerana kapasiti beliau sebagai EXCO IT Negeri Pahang merangkap Ahli Kehormat Kelas Pertama 1AGENDA. YB Dato’ Sharkar juga menepati criteria kerana beliau bergiat serius di dalam facebook, twitter mahupun blog.


Saya sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Peserta dan Pendaftaran, terlibat secara langsung dengan kehadiran Peserta dan Tetamu. Saya mengaku terdapat keciciran di dalam menyenaraipendekkan tetamu jemputan.


Untuk makluman, kebanyakan yang dijemput (rakan-rakan Blogger) adalah melalui sms dan bbm.

Saya memohon maaf jika terdapat keciciran dan inisiatif melancarkan MyVo1ce adalah untuk memastikan mesej dan networking jentera perlaksana ‘ spiwar’ pro BN digerakkan secepatnya.

Tidak terlintas untuk ‘sideline’kan sesiapa dan mengakui ianya adalah kesilapan dan salah faham semata-mata.

1AGENDA mengiktiraf semua rakan penulis dan penggiat media sosial terutama rakan-rakan yang telah lama berjuang menulis untuk membantu mempertahankan dasar-dasar Kerajaan BN yang kita kasihi.

Sesuai dengan pengiktirafan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib kepada semua Penggiat Media Maya sebagai ‘new army untuk Barisan Nasional, saya menyeru agar kita semua (Penggiat Media Maya) untuk bersatu dan bersama-sama ‘turun padang’ untuk menyampaikan maklumat tepat dan cepat sekaligus menafikan kepalsuan dan pembohongan yang dilakukan oleh pihak tidak senang melihat kejayaan Gagasan 1Malaysia.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk membetulkan kekeliruan berikutan kehadiran YB Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Rais Yatim pada Majlis ini adalah di atas jemputan Jawatankuasa dan bukannya sebagai Penganjur. Program ini berkaitan dengan Kementerian berkaitan yang mengawal selia media sosial.

Harap Maklum. Sekian dan Wassalam.


Zul Azhar bin Cha


Yang Di Pertua

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More