Friday, October 14, 2011

Ngelai Mahu Rebel 5 Disingkir!!??

Berikutan dengan sidang akhbar semalam, hari ini Setiausaha SPDP Zon Tengah mengsyorkan agar Rebel 5 atau Kumpulan 5 ini terus disingkirkan.  Ini kerana mengaku bahawa mereka ber5 telah hilang kepercayaan dan keyakinan dengan kepimpinan presiden mereka sekarang.

Punca mereka 'memberontak' kononnya hasil daripada pemilihan calon dan cara pengendalian parti semasa PRN Sarawak ke- 10 yang lepas. 

Mereka juga tidak berpuas hati kerana dikenakan tindakan disiplin apabila tidak menghadirkan diri ke mesyuarat.  Apakah hasil daripada penyiasatan yang telah dijalankan?  Adakah mereka ber5 ini akan didenda atau disingkirkan terus daripada SPDP?  Sama-samalah kita nantikan bersama.... 


Singkirkan Kumpulan 5 SPDP
Utusan Borneo Fri 14/10/2011 11:45 AM 
Demikian pendirian 10 bahagian SPDP zon tengah kenyataan kumpulan itu yang hilang kepercayaan terhadap Mawan

SIBU: Sepuluh bahagian Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dari zon tengah mahu ahli Kumpulan 5 disingkirkan daripada parti terbabit berikutan kenyataan mereka yang hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom.

Bahagian terbabit ialah SPDP Bahagian Bawang Assan, Nangka, Pelawan, Dudong, Bukit Assek, Tamin, Pakan, Meluan, Machan dan Ngemah.

Setiausaha SPDP Zon Tengah Ngelai Majan yang mewakili 10 bahagian SPDP terbabit berkata, Kumpulan 5 itu telah menyatakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mawan, namun pada masa sama memberitahu tidak mempunyai dendam peribadi terhadap beliau.

“Dalam kenyataan sebelum ini, mereka menyuarakan sokongan penuh kepada presiden tetapi pada masa sama menuduh beliau berlaku tidak adil dan konsisten. Ini sesuatu yang amat bercanggah,” ujarnya pada satu sidang media di sini, semalam.

Menurut Ngelai, presiden parti amat bertolak ansur, sabar dan tenang dalam menyelesaikan konflik semasa yang berlaku dalam parti, terutama melibatkan Kumpulan 5 terbabit.

Katanya, ahli-ahli parti di peringkat bahagian telah sedar yang pihak yang patut disalahkan dalam konflik terbabit adalah mereka yang menggelarkan diri mereka Kumpulan SPDP 5.

“Mengapa mereka perlu membawa keluar masalah dalam parti dan menentang presiden. Pada masa sama mereka mencemuh parti serta melabelkan presiden tidak mempunyai belas kasihan.

“Kita tidak harus hilang keyakinan dan kepercayaan kepada presiden, tetapi kepada mereka (Kumpulan 5) lebih-lebih lagi berhubung bagaimana mereka berdepan dengan konflik yang berlaku,” jelas Ngelai.

Ngelai yang juga setiausaha SPDP Bahagian Bawang Assan berkata, Kumpulan 5 terbabit juga tidak lagi menghormati Majlis Tertinggi (MT) parti dengan tidak menghadiri mesyuarat bagi tempoh lebih dua tahun.

“Sebagai ahli parti dan MT, kita juga sibuk dengan tugas namun kita dapat hadir pada mesyuarat selama ini,” katanya sambil menambah alasan yang diberikan oleh mereka itu hanya alasan semata-mata.

Menurut beliau lagi, Kumpulan 5 itu sekadar berlakon dengan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti yang diadakan sebelum pilihan raya negeri April lepas.

“Mereka ini juga yang melibatkan pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional dalam konflik semasa dalam parti. Apakah ini dilakukan bagi mendapatkan simpati pemimpin BN yang lain.

“Kami ahli parti dari zon tengah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada presiden dan juga parti,” tambah Ngelai.

Kumpulan 5 dalam sidang media kelmarin menyuarakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mawan dengan memberitahu bahawa presiden parti tidak lagi dapat menyelesaikan konflik dalam parti secara baik.

Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Peter Nansian Ngusie dipetik berkata, mereka tidak mempunyai dendam peribadi terhadap presiden dan sesiapa sahaja dalam parti, tetapi tidak bersetuju dengan cara pengurusan parti yang boleh menjejaskan kekuatan BN. Selain Nansian, hadir sama ialah Naib Presiden Datuk Sylvester Entrie Muran dan ahli-ahli MT iaitu Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More